Khamis, 26 Jun 2008

Permohonan Datuk Bandar KL batal saman RM10j ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak dengan kos permohonan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk membatalkan saman RM10 juta yang difailkan dua pemilik sebuah butik.

Penolong Kanan Pendaftar Parvin Hameedah Natchiar membuat keputusan itu dalam kamarnya, semalam.

Pada 9 Julai 2007, Butik Cosry Wise (M) Sdn Bhd (plaintif) yang dimiliki Ariff Quasri Md Nor, 35, dan Putra Aziz, 32, memfailkan saman itu melalui peguam mereka, Adnan Seman dengan menamakan Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta iaitu RM5 juta ganti rugi teladan dan RM5 juta ganti rugi teruk selepas mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak secara tidak adil ketika menyerbu dan merampas barangan di premisnya yang dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan.

Plaintif mendakwa ada menerima notis penguatkuasaan bertarikh 15 Ogos 2006 yang ditandatangai Pegawai Perancang Bandar dan Desa DBKL berhubung kesalahan menukar bangunan kediaman kepada perdagangan butik.

Mereka menjawab notis itu melalui surat bertarikh 21 Ogos 2006 dan memohon untuk menukar status premis berkenaan, yang diserahkan kepada Timbalan Pengarah Bahagian Kebajikan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia DBKL.

Plaintif mendakwa pihaknya menghentikan operasi butik itu sebaik menerima notis berkenaan dan menunggu keputusan rayuan, bagaimanapun meneruskan operasi seperti biasa selepas tidak mendapat sebarang maklum balas dari DBKL.

Pada 28 Jun 2007, kira-kira jam 10.45 pagi, defendan didakwa menghantar sepasukan penguat kuasa bagi menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap barangan di premis itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diwakili peguam Lee Yeok Choo dalam permohonan bagi membatalkan saman itu menegaskan, tindakan saman berkenaan tidak mendedahkan sebarang kuasa tindakan, remeh, mengaibkan dan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaannya, defendan menyatakan tindakan penguatkuasaan diambil kerana plaintif terus menjalankan aktiviti perdagangan butiknya tanpa kelulusan mengikut Perintah Pembangunan bagi menukarkan kegunaan premisnya daripada kegunaan kediaman kepada perdagangan.


NOTA PJJ: Baru ada akal..!!

.