Khamis, 5 Jun 2008

JOM HEBOH PINGGIRKAN PENJAJA??













Rasanya sudah hampir enam tahun saya mengikuti Jom Heboh yang dulunya dikenali sebagai Sure Heboh di seluruh negara. Sepanjang itu juga, pelbagai pengalaman yang saya lalui hingga menimbulkan tanda tanya apakah Jom Heboh hanya untuk 'orang berduit' semata-mata??

Ini kerana, tidak ada ruang perniagaan yang disediakan oleh pihak TV3 untuk penjaja kecil yang berpendapatan rendah. Kebanyakan ruang niaga atau tapak sewa yang ada hanyalah untuk mereka yang berduit kerana sewanya mencecah riburan ringgit hanya untuk dua atau tiga hari sahaja.

Jadi... bagaimana pula dengan nasib kami yang tidak mampu menyewa tapak perniagaan yang begitu tinggi harganya itu? Kenapa pihak TV3 tidak menyediakan tapak perniagaan ekonomi sekitar puluhan ringgit bagi membantu kami yang berpendapatan tidak seberapa ini?

Apakah dengan menjaja barangan seperti keropok, kueh mueh yang tidak seberapa atau air minuman yang kecil kami harus menyewa tapak yang berharga RM3,000?? Sedangkan kadangkala keuntungan kami juga tak seberapa sekadar cukup makan atau bak kata pepatah, kais pagi makan pagi...

Malah apabila kami mencuri-curi jual di luar kawasan Jom Heboh tanpa lesen (kawasan yang ada jauh), pihak berkuasa tempatan juga seolah-olah menjadi barua TV3 dengan menghalau kami bagaikan haiwan. Barangan kami juga adakalanya dirampas memperlihatkan betapa ketidakadilan masih diamalkan di negara ini tanpa mempedulikan nasib golongan penjaja seperti kami.

Bukankah elok jika pihak berkuasa tempatan itu menyediakan satu ruang niaga yang murah, ekonomi untuk golongan penjaja seperti kami mencari rezeki? Apakah mereka lebih suka menghalau, mengherdik dan merampas barangan penjaja tempatan daripada memberi peluang perniagaan pada kami yang hanya hidup melalui hasil jualan kecil-kecilan ini?

Jika sikap seperti ini berterusan, maka tidak hairanlah jika esok lebih ramai penjaja gulung tikar disebabkan penindasan bangsa sendiri. Oleh yang demikian, akan lebih ramai penjenayah lahir dalam masyarakat kerana mereka sukar berniaga dan tidak diberi peluang untuk berdikari dalam negara mereka sendiri.

Selalunya alasan yang diberi oleh pihak berkuasa tempatan ini ialah "kami hanya menjalankan tugas" atau "kami diarahkan oleh pihak atasan" untuk menghalau penjaja tanpa tapak perniagaan atau tanpa lesen. Dengan alasan itu, sudah berapa banyak barangan penjaja yang dirampas hingga modal mereka turut lesap sekaligus menjadikan mereka hilang punca pendapatan yang halal.

Jadi tidak hairanlah apabila lahirnya 'penjenayah-penjenayah' baru dalam masyarakat kita yang hilang pertimbangan diri apabila pintu rezeki mereka ditabur pasir. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan sedangkan pemimpin negara kita menggalakkan rakyatnya berniaga... tetapi terlepas pandang beberapa perkara yang penting dalam membangunkan pembangunan insan.

Berbalik pada Jom Heboh, seingat saya pada sekitar tahun 2002... penjaja jalanan masih berpeluang untuk berniaga apabila sistem sewaan dengan kadar sewa serendah RM50 disediakan di Ipoh Perak dan segelintir negeri lain. Ketika itu, penjaja dilihat dapat bernafas sedikit melalui hasil jualan dan pengunjung yang ramai.

Malah penjaja yang tidak menyewa atau menjaja dengan cara 'pacak' juga masih berpeluang menjaja barangan mereka dengan bebas.

Kemudian apabila tahun berganti tahun, kehadiran penjaja dianggap seperti duri dalam daging oleh pengurusan Jom Heboh apabila pelbagai sekatan dikenakan. Mereka kelihatan ghairah membuat keuntungan dengan hanya menyediakan tapak niaga untuk golongan mewah dengan kadar sewa ribuan ringgit.

Manakala bagi golongan seperti kami... kami hanya mampu menggigit jari apabila semua akses niaga disekat. Contoh paling ketara ialah Jom Heboh yang diadakan di Dangga Bay, Johor (pihak berkuasa tempatannya siap memakai teropong dan berjaga 24 jam bagi mengusir penjaja yang tak mampu menyewa)... Bukit Jalil, Kuala Lumpur (mereka siap menyediakan pejabat mudah-alih dan berjaga malam) dan segelintir negeri lain yang tidak prihatin terhadap nasib penjaja.

Tidak ada ruang sedikitpun yang mereka beri untuk penjaja jalanan yang kadangkala kerugian wang minyak dan toll apabila mereka datang dari jauh ke lokasi Jom Heboh dengan tujuan untuk berniaga. Apa yang mereka dapat ialah sekatan, halangan dan kadangkala dihalau bagai haiwan oleh pengawal keselamatan, pihak berkuasa tempatan atau orang yang diupah oleh segelintir pihak yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Hasilnya, mereka berjaya menyekat penjaja jalanan daripada berniaga dan kami tidak dapat menyara keluarga pada hari itu. Sedangkan pada tahun 2007, pihak DBKL ada juga memberi kebenaran berniaga pada penjaja di Bukit Jalil walaupun kawasannya agak terbelakang di stadium hoki dengan jumlah pengunjung yang sedikit. Tapi kami rasa berterima kasih kerana diberi ruang... berbanding 2008 yang tiada ruang langsung!!

Bayangkan, syarikat korporat atau mereka yang berduit untuk menyewa tapak mampu mengaut keuntungan berlipat ganda melalui Jom Heboh. Sedangkan penjaja kecil-kecilan seperti kami tertindas dan bergelut untuk terus hidup disebabkan kami tidak larat mengeluarkan wang untuk menyewa tapak perniagaan yang cekik darah!

Oleh yang demikian, di mana hilangnya rasa simpati pihak terbabit terhadap nasib penjaja yang lahir daripada masyarakat berpendapatan rendah ini? Mungkinkah kami akan terus terbiar dan dianaktirikan oleh mereka yang kononnya memperjuangkan nasib si miskin dalam rancangan 'Bersama Mu' itu hingga kami terpaksa menjadi pengemis di negara sendiri?

Minta kami pada pihak berkuasa tempatan, pihak TV3, kerajaan dan lain-lainnya... pandang-pandanglah sedikit pada penjaja jalanan ini. Tidak rugi jika disediakan tapak perniagaan yang sewanya murah sedikit jika itu dapat membantu ekonomi rakyat yang bergantung pada perniagaan kecil-kecilan.

Jangan hanya mengejar keuntungan besar hingga kami menjadi insan yang terbiar dan sekaligus terpaksa memilih 'jenayah' untuk meneruskan hidup menyara keluarga. Bak kata pepatah 'beruk di hutan disusukan... anak di rumah mati kelaparan'. Fikir-fikirkanlah sebelum terlambat..!!!


















Yang berduit mampu menyewa tapak ribuan ringgit...


















Jom Heboh hanya milik korporat??





Nasib penjaja kecil... mereka selalu dianaktirikan..!!





Kenangan Jom Heboh 2005 di Bukit Jalil... ketika penjaja masih dibenarkan berniaga (bulatan)




Kenangan Jom Heboh 2005 di Bukit Jalil... ketika penjaja masih dibenarkan berniaga (bulatan)















Kini yang kaya bertambah kaya..!!














Jom Heboh dilihat makin kurang popularitinya apabila

jumlah pengunjung makin berkurangan... malah beberapa negeri lain enggan membenarkan Jom Heboh diadakan di negeri mereka... Mungkinkah ini satu balasan Allah terhadap sikap sombong TV3 pada penjaja kecil..???