Rabu, 4 Jun 2008

KISAH BENAR PENJAJA



PENGAKUAN SATU:




ROSLINDA (Bukan nama sebenar)
Janda anak dua yang menyara keluarga melalui hasil menjaja barangan harian dan permainan kanak-kanak.

"Nasib kami memang malang kerana selalu menjadi mangsa pihak berkuasa tempatan yang kadangkala merampas barangan kami. Saya pernah berniaga di Jom Heboh sebelum ini. Walaupun dapat keuntungan sedikit, namun saya puas hati.

"Namun sejak akhir-akhir ini Jom Heboh dilihat hanya memikirkan keuntungan dan enggan membenarkan penjaja berniaga walaupun jauh daripada kawasan mereka. Rasanya sudah hampir empat tahun saya sukar berniaga di Jom Heboh apabila dihalau seperti haiwan oleh pihak yang tidak berperikemanusian.

"Kini saya lebih selesa berniaga di pasar-pasar malam seluruh negara. Maklumlah, penjaja macam saya mana ada modal nak buka kedai perniagaan tetap kerana ia memerlukan modal yang besar. Kalau minta pada kerajaan seperti Tekun dan lain-lain, macam-macam syarat yang dikenakan hingga membuat saya putus asa...!"


PENGAKUAN DUA:



AHMAD KARIM (Bukan nama sebenar)
Penjaja yang berasal dari Kedah tetapi merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki menyara isteri dan lima anak.

"Jom Heboh??? Sorry saya dah tak minat berniaga di situ. Apa sebabnya? Sebab saya rasa terhina apabila barangan saya kerap dirampas dan dihalau macam haiwan oleh pihak berkuasa tempatan, pengawal keselamatan dan orang-orang berkepentingan di TV3.

"Biarlah saya berniaga di masjid-masjid atau di pasar malam secara curi-curi. Di situ rezeki saya kira cukup makan walaupun ianya sedikit dengan hasil menjual makanan ringan seperti keropok dan lain-lain lagi.

"Memang saya ada niat untuk membesarkan perniagaan, namun banyak sangat biokrasi yang menjadi penghalang untuk saya berkembang. Ikhlasnya, saya lebih suka menjadi penjaja kerana hidup saya gembira walaupun tidak kaya seperti ahli korporat.

"Pesan saya, berilah peluang pada kami untuk mencari rezeki. Jangan anggap kami ini seperti sampah hanya semata-mata kami menjaja tanpa lesen. Berilah lesen jika ia baik untuk kemajuan penjaja-penjaja kecil... Usah asyik menindas sahaja..."